Gantung Keahlian Haniza Talha: PKR Bakal Lumpuh
- ahmad dhani
- May 4, 2020
- 2 min read
4 Mei 2020
Tindakan tidak rasional Lembaga Disiplin PKR yang mendapat restu Presidennya, Anwar Ibrahim merupakan langkah dangkal yang bakal melumpuhkan parti tersebut.

Media arus perdana hari ini telah memaklumkan, seramai 348 ahli PKR telah menerima keputusan samada mereka digantung keahlian ataupun telah dipecat daripada parti reformasi tersebut. Menjadi lebih parah lagi untuk parti itu, apabila Ketua Wanita Keadilan, YB Haniza Talha telah digantung keahliannya. Ini merupakan sejarah, kerana buat pertama kalinya, ketua sayap wanita sebuah parti politik yang prominan telah digantung keahlian. Apa yang kita lihat ketika ini, Keadilan sudah terlalu celaru dalam mengadili ahli partinya sendiri, sehingga tidak dapat membezakan antara perselisihan pendapat dan pengkhianatan. Wanita Keadilan merupakan tulang belakang kepada PKR, sekiranya terdapat sebarang masalah ia patut diselesaikan secara mesyuwarah dan bukannya dengan tindakan semberono yang tidak masuk akal. Pada ketika ini, seluruh kepimpinan Keadilan terutamanya presiden parti tersebut, tampak terlalu emosi dan penuh dendam dalam mengatasi permasalahan ini. Sewajarnya apabila kerajaan PH tumbang, jalan rekonsiliasi wajar diambil dan bukannya melunaskan niat serakah untuk melakukan "pembersihan" sedangkan yang "dibersihkan" itulah yang paling banyak berjasa kepada parti. Tindakan ini merupakan bukti utama bahawa Anwar Ibrahim langsung tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia. Beliau langsung tidak memikirkan koalisi PH, kekuatan PKR ataupun nasib rakyat. Kepimpinan yang beliau amalkan adalah berasaskan benci dan dendam. Jika diberikan peluang untuk menjadi Perdana Menteri, sudah tentu akan menyebabkan negara ini binasa dan rakyatnya menderita. Kepada YB Haniza Talha dan 348 ahli yang telah dikhianati oleh Keadilan, bertabah dan bersabarlah. Rakyat masih lagi memerlukan khidmat anda. Sekalipun anda dibuang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan konco-konco beliau, terdapat banyak lagi tempat yang boleh menjadi wadah untuk anda curahkan khidmat bakti, demi membina sebuah negara yang lebih baik. Anwar Ibrahim dan seluruh kepimpinan Keadilan harus malu dengan tindakan mereka. Teruskan membuang dan menggantung ahli, biarkan yang tinggal dalam Keadilan hanyalah anak beranak Presiden, kroni dan pengampu yang hanya mampu memuja muji seorang pemimpin yang sudah tamat tempohnya. Megat Seri Rama 1998 4 Mei 2020
Kommentare