top of page

Keadilan Tanpa Zuraida

  • Writer: ahmad dhani
    ahmad dhani
  • May 2, 2020
  • 4 min read

Oleh Ahmad Soffian Mohd Shariff

Setahun yang lepas, jika dikatakan pemimpin seperti Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin tidak akan lagi bersama Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), sudah tentu tiada siapa dapat membayangkannya. Kedua-dua nama ini sangat sinonim dengan Keadilan dan perjuangan reformasi sebuah parti yang sudah mencecah lebih 20 tahun penubuhannya.

Sungguhpun begitu, perubahan landskap politik tanah air yang berlaku dua bulan yang lepas sememangnya tidak dapat dijangkakan oleh sesiapa pun. Kerajaan Pakatan Harapan yang telah memegang tampuk pemerintahan akhirnya jatuh, ini tidak lain dan tidak bukan adalah akibat daripada permainan politik berterusan antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bakal PM paling lama dalam sejarah Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kini, kedua-dua dinosaur politik ini asyik mengungkit “Langkah Sheraton”, yang mana kononya mereka berdua dikhianati oleh pemimpin-pemimpin yang dekat dengan mereka. Tun Dr. Mahathir merajuk dan menyalahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak habis-habis meratib “Si Kitol” itu dan ini yang ditujukan kepada pihak-pihak tertentu, bagi melempiaskan marah beliau.

Kita sebagai rakyat Malaysia perlu sedar, Perikatan Nasional tidak akan wujud sekiranya kepimpinan negara di bawah Pakatan Harapan berada dalam keadaan stabil. Tetapi akibat daripada percaturan politik yang tidak rasional oleh Tun Dr. Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa mengambil langkah yang proaktif, bagi menyelamatkan negara daripada terus jatuh kedalam kemelut yang lebih dasyat.

Dari sudut politik, kita melihat, Parti Keadilan Rakyat merupakan parti yang paling terkesan dengan langkah ini. Akibat daripada usaha sama para pemimpin negara bagi penubuhan kerajaan baharu, parti tersebut telah kehilangan Timbalan Presiden, dua orang Naib Presiden dan beberapa lagi pemimpin tertinggi. Terkini, dikhabarkan tindakan turut telah diambil keatas Ketua Wanita dan beberapa pemimpin Angkatan Muda Keadilan kerana kononnya mereka telah melanggar peraturan parti, walaupun tiada bukti kukuh mereka telah berbuat demikian.

Sebagai seorang yang pernah terlibat dengan Parti Keadilan Rakyat dan juga menjadi sukarelawan di Parlimen Ampang, penulis tidak boleh membayangkan Keadilan sebagai sebuah parti politik tanpa kehadiran Zuraida Kamaruddin. Beliau yang bermula hanya sebagai ahli biasa tanpa sebarang “kabel” atau “connection”, telah mendaki tangga kepimpinan hingga menjadi Ketua Wanita dan seterusnya dipilih oleh ahli parti untuk menjawat jawatan Naib Presiden Keadilan.

Sebelum beliau menjadi ketua sayap Wanita parti reformasi itu, boleh dikatakan tiada siapa pun mengenali Wanita Keadilan. Pada ketika itu, di dalam arena politik Malaysia, Wanita UMNO dan Barisan Nasional merupakan sayap wanita paling kuat dan tiada sayap parti politik lain dapat menandingi mereka.

Kehadiran Zuraida Kamaruddin memberikan nafas baru kepada perjuangan untuk memartabatkan wanita, menjangkaui politik dan isu semasa. Beliau telah membawa pertubuhan itu ke era baru yang mana, peranan wanita dalam parti tersebut dipertingkatkan, sehingga menjadi tulang belakang kepada agenda reformasi yang pada mulanya hanya berteraskan kepada persona Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja.

Terlalu banyak perubahan dan pembangunan yang dibawa oleh beliau untuk dinyatakan di sini, namun antara perkara yang wajar kita ingati adalah gerakan pemerkasaan wanita dengan penubuhan Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) Selangor yang jelas telah meningkatkan keupayaan wanita di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan. Terutamanya dalam sektor pendidikan, pembuatan polisi dan ekonomi. Beliau juga merupakan Duta Malaysia kepada organisasi antarabangsa Women Political Leaders (WPL) yang dianggotai oleh pemimpin wanita di seluruh dunia.

Paling tidak boleh dilupakan adalah apabila beliau berseorangan telah bangkit di dalam Dewan Rakyat dan membela nasib anak-anak gadis Penan yang telah menjadi mangsa serangan seksual pada tahun 2008, yang mana pada ketika itu mereka tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Bukan setakat itu sahaja, apabila pertanyaan dan soalan beliau tidak dijawab dengan baik oleh Menteri Wanita pada ketika itu, Zuraida Kamaruddin telah mengetuai demonstrasi di hadapan Kementerian Wanita & Pembangunan Masyarakat untuk mendapatkan laporan terperinci mengenai kes tersebut.


Di bawah kendaliannya, Wanita Keadilan kini telah menempa nama di dalam hati dan sanubari rakyat Malaysia. Sedar akan perlunya kesinambungan terhadap kepimpinan wanita di dalam Keadilan, Zuraida Kamaruddin juga telah membuka ruang kepada pemimpin wanita lain untuk terus memberikan khidmat kepada parti dan juga masyarakat. Ini bukan sahaja berlaku di dalam Parti Keadilan Rakyat tetapi juga Pakatan Harapan (yang dulunya dinamakan sebagai Pakatan Rakyat).

Kini, Parti Keadilan Rakyat telah kehilangan seorang pemimpin yang benar-benar peduli dan peka terhadap nasib rakyat. Mungkin disebabkan terlalu buta akan hakikat ini, pemimpin yang sedang berada di dalam parti tersebut masih lagi tidak dapat merasakannya. Namun bagi mereka yang terlibat secara aktif di dalam gerakan akar umbi, sudah tentu ketiadaan Zuraida Kamaruddin di dalam Keadilan sangat dirasai.

Mungkin ada di antara kita yang tidak bersetuju dengan tindakan atau pandangan yang telah dilontarkan oleh beliau. Ini perkara biasa, kerana sebagai seorang manusia, beliau juga melakukan khilaf , namun tiada sesiapa pun boleh menidakkan bahawa kerana jasa beliau, wanita di dalam Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Harapan dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pemimpin lelaki. Kerana beliau juga, kita dapat melihat ramai pemimpin wanita telah diberikan ruang untuk berkhidmat.

Zuraida Kamaruddin merupakan satu aset yang seharusnya dikekalkan untuk membantu kekuatan parti. Mungkin ada hikmah di sebalik semua yang berlaku, kerana kini, kehadiran beliau di dalam Perikatan Nasional sudah tentu akan membawa satu lonjakan baru dalam usaha untuk memulihkan semula negara akibat percaturan politik dangkal Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah membawa negara ini ke dalam masalah yang lebih parah.

Zuraida Kamaruddin merupakan satu lambang atau embodiment yang menunjukkan kepimpinan wanita bukan sekadar menjadi pembantu atau penyokong di dalam sesuatu organisasi sahaja. Corak kepimpinan yang ditunjukkan oleh beliau telah mengubah peranan wanita di dalam politik Malaysia untuk menjadi lebih aktif dan progresif. Penulis percaya, nama beliau akan terpahat di dalam sejarah Malaysia, selari dengan tokoh-tokoh pemimpin wanita lagenda seperti Khatijah Sidek, Ibu Zain, Aishah Ghani, Fatimah Hashim, dan ramai lagi, menjadi legasi untuk diingati oleh generasi akan datang.

Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff Shah Alam, Selangor.

Commentaires


bottom of page