top of page

KENYATAAN MEDIA TIMBALAN MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN

  • Writer: ahmad dhani
    ahmad dhani
  • Apr 23, 2020
  • 2 min read

PENAFIAN LAYANAN ‘DOUBLE STANDARD’ KEPADA WAKIL

Saya merujuk kepada Kenyataan Media oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia dengan tajuk “HENTIKAN LAYANAN ‘DOUBLE STANDARD’ TERHADAP WAKIL RAKYAT PAKATAN HARAPAN” bertarikh 22 April 2020. Saya menafikan bahawa wujud layanan ‘Double Standard’ terhadap wakil rakyat Pakatan Harapan sebagaimana yang didakwa oleh YB Akmal Nasir, Ahli Parlimen Johor Bharu merangkap Ketua Angkatan Muda, Parti Keadilan Rakyat. Saya menegaskan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional sentiasa prihatin terhadap kepentingan serta kebajikan rakyat dan ini diterjemahkan secara khususnya oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dalam menangani krisis COVID-19 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melalui tindakan pantas, bersepadu dan proaktif pelbagai agensi. Saya menekankan bahawa pihak KWP bersikap terbuka dan sentiasa bekerja sama rapat dengan semua pihak termasuk pihak swasta dan orang awam sedari awal. Peranan para wakil rakyat untuk mengangkat suara rakyat yang diwakili mereka adalah dialu-alukan tertakluk kepada pematuhan undang-undang dan prosedur operasi standard yang berkuat kuasa. Berhubung dengan tindakan YB Prabakaran, Ahli Parlimen Batu tempoh hari, satu penjelasan telah pun saya buat melalui sidang media pada 21 April 2020. Saya ingin maklumkan juga bahawa semalam, 22 April 2020 (Rabu), sekitar jam 2.00 petang, saya telah bertemu YB Prabakaran dengan disertai oleh Dato’ Seri Mazlan, Ketua Polis Kuala Lumpur dan Puan Wan Zarina binti Wan Salleh, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) WP. Dalam perbincangan itu, semua persoalan beliau telah pun dijawab dan ruang telah diberikan untuk beliau mengemukakan cadangan tentang kaedah-kaedah bagaimana JKM menjalankan operasinya. Selain itu, merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Akmal, saya berpandangan beliau mungkin tidak dapat membezakan di antara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Saya ingin jelaskan bahawa dalam tempoh PKP, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang boleh menjalankan tugas yang ditetapkan untuk membantu rakyat dengan kerja sama agensi kerajaan seperti JKM, Angkatan Pertahan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). Walau bagaimanapun bagi kawasan yang terlibat dengan PKPD, Ahli Parlimen kerajaan ataupun pembangkang, adalah TIDAK dibenarkan sama sekali untuk masuk ke kawasan PKPD tanpa kebenaran. Dalam konteks PKPD di Kuala Lumpur, kebenaran hendaklah diperolehi terlebih dahulu daripada Jawatankuasa Crisis Management Centre (CMC) WP dan Ketua Polis Kuala Lumpur. Malah saya sendiri hanya dibenarkan berada di PKPD atas kapasiti sebagai Timbalan Pengerusi/Pengerusi Ganti kepada Mesyuarat CMC WP dan telah melalui prosedur-prosedur yang berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pihak-pihak yang terlibat. Sebagai makluman, Jawatankuasa CMC WP yang bermesyuarat setiap hari di Jabatan Penguatkuasaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur adalah bertujuan untuk menyelaras tindakan setiap agensi kerajaan yang bertanggungjawab seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan, JKM, APM dan RELA bagi aspek keselamatan, kebajikan dan kelancaran pentadbiran di PKPD. Justeru, saya menyeru kepada mana-mana Ahli Parlimen di WP yang ingin turut sama menyumbang, agar berhubung dengan Jawatankuasa CMC WP terlebih dahulu untuk berbincang mengenai kaedah kerjasama agar keselamatan semua pihak terjaga dan rakyat benar-benar boleh mendapat manfaat. Untuk tujuan ini, Ahli Parlimen di WP bolehlah menghubungi Pejabat Majlis Keselamatan Negara WP atau Jabatan Kebajikan Masyarakat WP bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai prosedur yang berkaitan. Terima kasih. YB Dato’ Sri Dr. Santhara J.P Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Ahli Parlimen Segamat

Comments


bottom of page